Friday, July 15, 2011

Karangan BM (15 JULAI 2011) - Pengurusan Masa yang Berkesan

Pepatah Melayu ada menyatakan bahawa masa itu emas. Pepatah ini mengingatkan kita bahawa masa sangatlah berharga dan kita patut memanfaatkannya dengan sebaiknya. Hakikatnya, istilah tidak ada masa bukan merupakan alasan yang jujur kerana pada dasarnya kita semua memiliki masa 24 jam setiap hari dan seseorang itu akan memperoleh manfaatnya sekiranya bijak mengurus masa. Kita hanya perlu meningkatkan cara membahagikan masa dengan lebih cermat. Usaha pasti akan membuahkan hasil kalau pelbagai langkah yang efektif dilakukan dengan segera untuk menguruskan masa yang berkesan.

Sebagaimana yang kita ketahui, kita sepatutnya mempunyai jadual peribadi untuk menguruskan masa yang berkesan. Dalam hal ini, jadual mestilah bersifat fleksibel. Jadual ini tentunya boleh diubahsuai dan mudah diikuti. Bukan itu sahaja, jadual hendaklah merangkumi waktu ulangkaji, waktu menyiapkan latihan dan waktu untuk diri sendiri. Hal ini juga penting kerana pengurusan masa yang cekap memandu pelajar untuk berjaya. Seandainya pelajar mengurus masa dengan lebih cekap, masa yang terluang boleh digunakan untuk melakukan kerja-kerja yang berfaedah.

Di samping itu, pengurusan masa yang berkesan juga dapat menanam sikap bertanggungjawab dan berupaya mendisiplinkan diri sendiri. Melalui cara ini, kita dapat mengamalkan hidup yang berdisiplin dan bermakna. Dengan perkataan lain, tanpa disiplin jadual yang dibuat sudah pasti tidak dapat diikuti dengan lancar. Oleh itu, kita hendaklah melakukan apa yang telah kita jadualkan dengan penuh disiplin. Jika tidak, jadual yang telah kita sediakan tiada maknanya. Kita hendaklah belajar membaiki kelemahan yang ada pada diri kita.

Selain itu, tabiat lama yang suka menangguh-nangguhkan kerja haruslah kita kikis. Contoh yang ketara yang paling dekat dengan kita adalah ketika kita menangguhkan tugasan dan menyiapkannya pada saat-saat akhir kadang-kadang hingga larut malam, yang lebih teruk lagi apabila kita meniru kawan tanpa mendapat apa-apa pengajaran langsung. Maka tabiat seumpama ini perlu diubah. Jelaslah bahawa kita perlu menyiapkan tugas dengan segera. Seperti yang telah dinyatakan kita perlu peka dan sentiasa mengambil berat tentang tugasan yang diberi.

Intihanya, kita perlu mengurus masa dengan betul supaya aktiviti harian dapat dijalankan dengan berkesan seterusnya melahirkan modal insan yang bermoral selaras dengan Wawasan 2020. Ini membuktikan bahawa seseorang yang bijak membahagikan masanya mempunyai ciri insan yang berjaya. Sehubungan itu, kita perlu belajar menguruskan masa supaya kehidupan kita akan menjadi lebih sempurna. Hal ini akan menjamin kehidupan yang bahagia pada masa hadapan.

2 comments:

  1. Thanks to your essay .. I can finish my homework with this

    ReplyDelete
  2. Thanks to your essay.. I can finish my homework with this

    ReplyDelete